Monday, April 21, 2014

ATAS KESEDIAAN MU - SEMUGA ALLAH AMPUNI DOSAKU

BISMILLAH

ASSALAMUALAIKUM WMT WBR.

Sedikit cacatan saya buat tatapan rakan-rakan dan pembaca yang dihormati.

Saya mengetuai Team Doa yakni team sukarelawan da'wah kepada orang asli di bawah MAIS. Buat masa ini, tumpuan banyak di berikan kepada Kampung Orang Asli Ulu Batu, Gombak Selangor.


Setelah mengikuti beberapa program bersama Orang Asli yang dijalankan oleh MAIS dan JAKOA, saya merancang untuk menjalankan program ‘follow up’ ke kampung orang asli.  Atas nasihat ustaz, Kampung Orang Asli Ulu Batulah tempat awal untuk kami menjalankan program kami.


Saya bersama anak, pergi ke kampung tersebut untuk bertemu Tok Batin bagi memaklumkan perkara tersebut. Setelah mendapat persetujuan Tok Batin, saya mula meninjau-ninjau kawasan kampung yang tidak berapa luas itu. 

Anak-anak yang pernah mengenali saya semasa program bersama MAIS terdahulu mengekori saya berjalan dan meninjau keadaan sekeliling. Dengan bantuan anak-anak kecil itu, saya mendapat sedikit sebanyak maklumat yang saya perlukan untuk tindakan awal.


Dengan berbekalkan medium facebook dan wassup, saya menyatakan hasrat untuk menjalankan program tersebut yang bertemakan BIMBING DAN DA’WAH.  Target awal saya hanya untuk anak-anak mereka dahulu.

Alhamdulillah, sambutan dari sukarelawan yang telah memberikan nama amat baik sekali, wang ringgit dan tenaga dan dibantu pula oleh Rakan-rakan sekolah dalam reunion sekolah, serta rakan-rakan facebook yang mengenali saya (yang tidak dapat bersama tapi turut membantu),  dengan menjadi sponsor makanan dan kewangan, maka hasrat untuk menjayakan program tersebut telah dapat kami jalankan.  Walau mungkin tidak sebaik mana, namun ianya mendapat sambutan yang amat baik dari anak-anak orang asli dari kampung tersebut.  Diharapkan usaha kerdil dapat memberi sesuatu yang berguna untuk mereka.


Semasa hendak pulang, anak-anak mengerumi dan bertanyakan bilakah kami akan datang lagi, hampir menistis air mata saya kerana mereka sangat mesra dan mudah menyayangi kerana mungkin dengan kehadiran kami mereka dapat mempelajari sesuatu yang baru dalam hidup mereka. Itu tanggapan saya.

Pada 20hb April 2014 yang lalu, kami telah sekali lagi melakukan program BIMBING DAN DA'WAH untuk siri ke 2 di kampung tersebut.  Seperti sebelumnya, saya akan bungkuskan sedikit makanan, biskut atau apa-apa yang dapat terkumpul untuk saya hantar rumah ke rumah kepada penduduk kampung.  Tujuan saya supaya dapat lebih dekat untuk mengenali penduduk kampung serta membina ukhuwah yang lebih mesra.


Pada program BIMBING DAN DA'WAH kali ini, setelah pemerhatian yang lalu, saya telah cuba membuka mulut untuk mengajak salah seorang ibu (beranak 2) dari rumah yang diziarahi untuk turut serta hadir dalam program kami bagi belajar membaca al-quran bermula dengan mengenali huruf Hijaiyyah.

Saya tidak berapa yakin yang beliau akan datang, namun atas cubaan saya untuk menjemput sedikit demi sedikit warga orang asli (yang dewasa) bagi bersama program kami, maka saya meneruskan hasrat menjemput beliau. Kemudian rombongan kami terus menziarahi dari pintu ke pintu yang berbaki untuk menyampaikan sedikit buah tangan yang kami bawa.

Selesai program ziarah tersebut saya bersama rombongan kembali ke surau dan saya amat terkejut kerana ibu muda tadi telah ada didalam surau bersama dengan anak-anak lain.  Dia membisikkan, dia teringin untuk mendirikan solat, membuatkan air mata saya tergenang.


Hati saya mengucapkan syukur dan sangat merasa terharu rupa-rupanya mereka ada keinginan untuk mendalami Islam walaupun terpaksa belajar bermula dari membaca alif.. ba.. ta.. lagi, walaupun ketika ziarah yang saya lakukan tadi saya hampir tidak percaya kerana masih ada dikalangan mereka yang tidak memahami apa tanggungjawab mereka dalam Islam yang mereka terima untuk anuti.

Kehadiran ibu muda tersebut membuatkan saya memanjatkan rasa syukur dan berdoa kehadrat ALLAH agar diberi kemudahan dan pertolongan dalam kami meneruskan usaha kerdil ini untuk membimbing mereka menjadi hamba ALLAH yang sebaik mungkin, agar ianya menjadi tarikan kepada rakan sekampung yang masih lagi belum menerima hidayah ALLAH.

Pada sesi akan datang, Insyaallah saya akan memberanikan diri untuk membuka mulut bagi mengajak seorang dua lagi penduduk KAMPUNG ORANG ASLI ULU BATU untuk bersama kami dalam Tarbiyah Awal yang mampu kami usahakan adapun setelah mereka memiliki asas kesedaran mencintai dan ingin mengamalkan cara hidup Islam, maka ilmu yang lebih mendalam wajar diteruskan oleh pihak yang berwajib yang lebih layak dan lebih arif lagi.


“Ya ALLAH, hanya sekadar ini ilmu dan kadar kemampuan kami untuk menyebarkan agamamu… Semuga ianya mendapat keredhoan dan keberkatan-MU dan yang paling penting, KAU ampunilah segala dosa-dosa kami yang telah kami perbuat.. Berilah kami kekuatan,  Aamiin”

Tanpa rakan sukarelawan dan dermawan saya tidak akan mampu untuk melangkah meneruskan usaha kedil ini...

Kepada pihak-pihak yang membantu saya ucapkan JAZAKALLAH dan hanya ALLAH yang dapat membalasnya dengan sebaik-baik balasan.

Akan saya coretkan titipan pengalaman saya lagi di masa akan datang…

Salah silap saya mohon kemaafan.

Miza shahar 
Team DOA


-


~~~~~ info ~~~~ iklan ~~~~ makluman ~~~~  

No comments: